TAWAU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperkukuhkan semangat patriotisme dan kesedaran keselamatan dalam kalangan generasi muda melalui penganjuran Program Kenegaraan dan Kesedaran Keselamatan di Pulau Sebatik, Sabah.
Program yang berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober itu diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tongkang serta Kampung Sungai Melayu dan merupakan sebahagian daripada usaha memperluas inisiatif Jalinan Akrab Tentera-Awam (JATA) di kawasan luar bandar serta pedalaman Sabah.
Terletak di lokasi strategik dan sensitif kerana berkongsi sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia, Pulau Sebatik dipilih bagi memastikan masyarakat setempat sentiasa peka terhadap isu keselamatan dan pertahanan negara.
Program tersebut melibatkan penyertaan lebih 160 murid, guru-guru, ibu bapa, Ketua Kampung, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota ATM. Pelbagai pengisian telah dianjurkan termasuk syarahan kenegaraan dan keselamatan Pemasangan Jalur Gemilang di kawasan sekolah Agihan barangan Relation Building Items (RBI) kepada komuniti setempat
Pegawai penyelaras program, Mejar Mohd. Zurul Kamal Salim berkata, program tersebut bertujuan menyuburkan rasa cinta kepada negara serta meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan dalam kalangan pelajar dan masyarakat luar bandar.
“Generasi muda perlu didedahkan kepada peranan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara. Pendekatan santai dan mesra komuniti seperti ini lebih dekat dengan hati mereka,” katanya.
Guru Besar SK Sungai Tongkang, Sabir Mapeala pula menyambut baik usaha ATM dan berharap agar program seperti ini dijadikan acara tahunan.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak ATM kerana dapat menjayakan program seperti ini. Program seperti ini harus diteruskan agar hubungan ATM dan warga sekolah dan masyarakat setempat menjadi lebih erat. Di samping, murid-murid menjadi lebih cakna berkenaan keselamatan,” ujarnya.
Menurut beliau, aktiviti turun padang seumpama ini bukan sahaja menyemai nilai patriotisme, malah mengeratkan hubungan antara ATM dan masyarakat setempat, sekali gus membina keyakinan rakyat terhadap peranan pasukan keselamatan negara.
Program di SK Sungai Tongkang dan Kampung Sungai Melayu menjadi contoh bahawa kerjasama erat antara ATM, institusi pendidikan dan masyarakat mampu membentuk jati diri kenegaraan sejak usia muda terutama di kawasan pedalaman yang memerlukan perhatian berterusan. – UTUSAN

 
								 
											








