KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN bersepakat mempercepat pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN (APG) bagi memperkukuh hubungan tenaga rentas sempadan dan memastikan bekalan elektrik yang mampan serta mampu milik kepada lebih 680 juta penduduk rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu menjadi tiang utama kepada masa depan tenaga ASEAN yang rendah karbon, bersepadu dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi rantau ini untuk mempercepat peralihan tenaga secara adil dan seimbang.
“Grid Kuasa ASEAN melambangkan aspirasi kita untuk menghubungkan sistem tenaga, berkongsi sumber serta membina daya tahan melalui saling kebergantungan.
“Melalui grid ini, kita dapat memanfaatkan tenaga boleh baharu, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta memastikan tenaga yang mampu milik dan boleh dipercayai di seluruh rantau,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN Ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 (AEFB 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia telah lama menjadi penyokong utama pelaksanaan APG iaitu menerusi Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) dan cadangan keterhubungan Vietnam–Malaysia–Singapura.
Katanya, selain sambungan sedia ada dengan Singapura dan Thailand, Malaysia turut terlibat dalam kerangka Brunei–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP) yang kini sedang diperkukuh.
“Grid tenaga yang saling berhubung bukan sahaja memperkukuh integrasi ekonomi serantau, malah mampu menarik pelaburan hijau, mencipta peluang pekerjaan berkualiti serta meletakkan ASEAN sebagai hab utama industri tenaga bersih dunia,” katanya.
Anwar berkata, Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN yang baharu akan menjadi dasar utama rantau ini dalam menetapkan hala tuju yang jelas untuk memperluas tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan serta memperkukuh sambungan tenaga serantau.
“Pelan tindakan ini menekankan prinsip keadilan sebagai tunjang peralihan tenaga serta memastikan setiap negara anggota bergerak ke hadapan mengikut kemampuan masing-masing ke arah masa depan tenaga rendah karbon, mampan dan inklusif,” katanya. – UTUSAN










