KEHADIRAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur dilihat bakal menjadi acara paling signifikan bagi Asia Tenggara tahun ini yang memberi peluang kepada ASEAN untuk mempelajari sesuatu daripada diplomasi rundingan ala ‘deal-making’ beliau.
Lawatan Trump ke Malaysia selaku pengerusi bergilir ASEAN tahun ini yang berlangsung ketika rantau ini berdepan pelbagai cabaran daripada ketegangan perdagangan AS-China yang semakin memuncak, tarif timbal balik AS, sehinggalah konflik sempadan Kemboja-Thailand.
Pujian harus diberikan kepada ASEAN yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran diluar jangkaan tahun ini, meskipun wujud keraguan terhadap keberkesanan organisasinya.
Dalam berdepan rundingan tarif timbal balik Trump, ASEAN berjaya menunjukkan perpaduan dengan tidak mengambil tindak balas yang keterlaluan.
Walaupun setiap negara anggota bebas membuat keputusan disebabkan ketiadaan mandat sebenar atau keupayaan institusi berpusat, tindakan mereka masih kekal sejajar dengan pendirian kolektif ASEAN.
Dalam usaha memeterai gencatan senjata yang diusahakan Trump antara Kemboja dan Thailand, Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan platform itu dengan berkesan bagi memanfaatkan imejnya yang ‘kuat’ di rantau ini dan sebagai perantara jujur sekali gus meningkatkan kredibiliti proses perdamaian.
Kuasa perhimpunan ASEAN terbukti ampuh dalam mendepani tahun yang mencabar, namun persoalan sebenar adalah sama ada organisasi ini mampu melakar kejayaan itu pada masa hadapan dengan membangunkan pendekatan berstruktur bagi menangani cabaran luar jangka yang mungkin akan tiba.
Kritikan paling kerap terhadap ASEAN adalah ia tidak mempunyai mandat sebenar untuk bertindak bagi pihak negara anggota, dan tidak sekuat Kesatuan Eropah (EU).
Struktur berasaskan konsensus sering dianggap sebagai sebab utama mengapa ASEAN sukar menangani cabaran besar di rantau ini.
Namun kelemahan yang dianggap itu sebenarnya adalah kekuatan terbesar ASEAN. Struktur tersebut membolehkan negara anggota yang berada pada pelbagai tahap pembangunan negara-bangsa memperkukuh institusi nasional masing-masing, sambil memanfaatkan kekuatan kolektif serantau.
Ketika ASEAN ditubuhkan, lima negara pengasasnya masih di peringkat awal membina institusi nasional dan menghadapi cabaran domestik tersendiri.
Bagi Malaysia, misalnya, ketika itu sedang berhadapan dengan ancaman Komunis. Maka, tidak praktikal untuk menyerahkan kuasa kepada entiti serantau baharu ketika itu. Bahkan sehingga kini, mustahil untuk menjadikan ASEAN sebagai entiti berkuasa seperti EU.
Daripada terus berdebat sama ada ASEAN perlu menjadi organisasi yang lebih berkuasa, fokus seharusnya tertumpu kepada perkara yang benar-benar penting bagi negara anggota iaitu hasil nyata yang boleh dicapai bersama.
Apa yang paling penting bagi ASEAN bukanlah bentuk atau struktur organisasi, tetapi keupayaannya mengharungi cabaran masa depan dan terus memberikan hasil yang bermanfaat kepada pelbagai negara anggotanya, dalam ruang lingkup kekangan yang ada.
Pengajaran paling bernilai buat ASEAN daripada tahun yang mencabar ini adalah bagaimana cara berunding dengan kepimpinan AS yang tegas, transaksional dan mempunyai objektif yang jelas.
Dalam rundingan tarif timbal balik, AS menyatakan pendiriannya dengan tegas, termasuk pematuhan ketat terhadap peraturan asal barangan dan tindakan terhadap penipuan pemindahan dagangan (transshipment fraud).
Berunding dengan kepimpinan AS yang mempunyai objektif jelas membolehkan negara anggota ASEAN mengenal pasti keutamaan Washington dan menyesuaikan tawaran mereka dengan sewajarnya.
Trump juga memaksa Kemboja dan Thailand ke meja rundingan dengan menawarkan pengurangan tarif sebagai ganjaran yang akhirnya membawa kedua-dua pihak bertemu di Putrajaya untuk bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata.
Dengan memberikan pengurangan tarif kepada kedua-dua pihak sebagai balasan terhadap gencatan senjata itu, Trump menunjukkan komitmen dan pelaburan peribadinya dalam proses penyelesaian konflik sempadan tersebut.
Ketika berada di Malaysia, Trump dijangka akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kuala Lumpur yang merupakan kesinambungan kepada perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani di Putrajaya, Julai lalu.
ASEAN harus mengekalkan dan memperkukuh pengajaran daripada tahun yang mencabar ini dengan membentuk satu rangka kerja yang kekal, mencipta ‘templat Trumpian’ bagi menangani cabaran serupa atau lebih hebat pada masa akan datang.
Untuk ASEAN terus berkembang dan kekal relevan, organisasi ini boleh bermula dengan menyesuaikan elemen-elemen diplomasi koersif dan transaksional gaya Trump.
Adib Zalkapli ialah Pengarah Urusan Viewfinder Global Affairs, sebuah firma penasihat geopolitik yang berfokus kepada Asia. -UTUSAN