ASEAN: Operasi KLIA lancar, lebih 530,000 penumpang, 3,400 penerbangan

ASEAN: Operasi KLIA lancar, lebih 530,000 penumpang, 3,400 penerbangan

Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal lancar sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal lancar sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN meskipun mencatatkan jumlah penumpang tinggi melebihi 530,000 orang.

Ia melibatkan 3,400 penerbangan dalam tempoh penganjuran sidang tersebut.

Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam kenyataannya berkata, langkah proaktif telah diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang.

Katanya, ini termasuk menempatkan kontraktor Aerotrain di lapangan secara berterusan serta memperkukuh sumber sokongan bagi menangani sebarang kemungkinan gangguan.

“Pelbagai langkah mitigasi telah diaktifkan bagi memastikan operasi berjalan lancar sepanjang tempoh kritikal ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, isu teknikal yang dikesan berpunca daripada sistem kuasa Aerotrain yang berada di bawah tanggungjawab kontraktor IJM-PESTEC Joint Venture (IPJV).

MAHB menegaskan, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan segera tanpa menjejaskan operasi mahupun keselesaan penumpang.

“Kami sedang menantikan laporan terperinci dan penjelasan lanjut daripada pihak Alstom dan IPJV berhubung insiden gangguan bekalan kuasa yang berlaku awal pagi ini serta pada 15 Oktober lalu,” jelasnya.

Sebagai pintu masuk utama negara, KLIA menjadi nadi utama pergerakan delegasi dan pemimpin serantau semasa Sidang Kemuncak ASEAN, termasuk ketibaan dan keberangkatan ketua kerajaan serta wakil rasmi dari negara-negara anggota dan rakan dialog.

Kecekapan operasi dan kerjasama erat pelbagai agensi di lapangan turut menyumbang kepada kelancaran keseluruhan urusan ketibaan, keselamatan dan logistik sepanjang tempoh persidangan berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN