Pemandu Honda BRV tawar khidmat kereta sewa haram ditahan

Pemandu Honda BRV tawar khidmat kereta sewa haram ditahan

Tindakan seorang pemandu Honda BR-V menawarkan khidmat kereta sewa secara haram mengundang padah apabila dia ditahan ketika ingin mengambil penumpang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin. - IHSAN JPJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu Honda BR-V menawarkan khidmat kereta sewa secara haram mengundang padah apabila dia ditahan ketika ingin mengambil penumpang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Penahanan itu dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor hasil daripada intipan dan pemantauan di Terminal 1 KLIA, Stesen Penguatkuasa KLIA terhadap ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, sebuah kenderaan jenis Honda BR-V beserta pemandu ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warganegara Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke Rawang, Selangor dengan kadar tambang RM100 dan akan dibayar apabila sampai ke destinasi.

“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan mengutamakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×