KLIA2 mula sesak, perantau pilih pulang awal

KLIA2 mula sesak, perantau pilih pulang awal

WARGA kota memenuhi terminal penerbangan ketika tinjauan orang ramai mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri mula dirasai apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 (KLIA2) mencatatkan peningkatan ketara jumlah penumpang, khususnya bagi laluan domestik.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kesesakan itu didorong tindakan warga kota yang memilih untuk pulang lebih awal bagi mengelakkan ‘kemuncak’ aliran trafik pada hari-hari terakhir menjelang Syawal.

Antara destinasi yang menunjukkan lonjakan aliran penumpang ialah laluan ke Kota Bharu, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah yang menjadi pilihan utama perantau untuk kembali ke kampung halaman.

Seorang pekerja swasta, Farah Awang Kechik, 34, berkata, beliau memilih untuk menaiki pesawat pulang ke Kota Bharu kerana tidak sanggup berdepan kesesakan jalan raya yang boleh mencecah tempoh perjalanan sehingga belasan jam.

Menurutnya, faktor anak kecil turut menjadi pertimbangan utama dalam membuat keputusan tersebut.

“Memandangkan saya mempunyai anak kecil, agak kasihan jika dia terpaksa berdepan perjalanan yang terlalu lama terutama pada musim perayaan.

“Walaupun harga tiket penerbangan lebih mahal, ia tetap pilihan terbaik berbanding menggunakan pengangkutan lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Khalid Tony, 39, yang pulang ke Kota Kinabalu berkata, beliau bersama keluarga memilih untuk pulang lebih awal bagi menikmati suasana kampung dengan lebih tenang.

Katanya, langkah itu juga bagi mengelakkan kesesakan luar biasa di lapangan terbang sekiranya pulang pada hari-hari terakhir Ramadan.

“Saya bimbang keadaan di KLIA2 akan menjadi terlalu sesak dan kurang selesa jika pulang saat akhir.

“Jadi kami ambil keputusan pulang lebih awal supaya perjalanan lebih lancar dan tidak tergesa-gesa,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, AirAsia menasihatkan penumpang supaya merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan urusan perjalanan lebih lancar sepanjang musim perayaan.

Menurut syarikat penerbangan itu, penumpang digalakkan mendaftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE seawal 14 hari hingga satu jam sebelum waktu pelepasan.

“Penumpang juga digalakkan memuat turun aplikasi tersebut untuk mendapatkan maklumat terkini termasuk status penerbangan.

“Perkhidmatan daftar masuk di kaunter hanya disediakan untuk tetamu tertentu seperti orang kurang upaya, ibu hamil, warga emas serta penumpang yang melakukan perjalanan bersama bayi atau remaja tanpa pengiring,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, penumpang dinasihatkan tiba lebih awal di lapangan terbang iaitu sekurang-kurangnya dua jam sebelum penerbangan domestik dan tiga jam bagi penerbangan antarabangsa sepanjang tempoh puncak.

“Kaunter daftar masuk di KLIA2 akan ditutup satu jam sebelum waktu pelepasan, manakala bagi penerbangan domestik di lapangan terbang lain, ia ditutup 45 minit sebelum berlepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN