Fenomena kecerdasan buatan (AI) semakin menjadi ikutan di seluruh dunia, termasuk dalam kalangan peminat K-Pop.
Dari gambar rekaan hinggalah suara tiruan, peminat kini mampu menghasilkan karya seolah-olah artis kegemaran mereka yang melakukannya sendiri.
Namun, tidak semua selebriti bersetuju. Malah, beberapa nama besar dari Korea Selatan tampil secara terbuka menyatakan rasa tidak selesa, bimbang dan ada juga yang terus menolak penggunaan AI yang mengaitkan suara serta imej mereka tanpa kebenaran.
Fenomena ini bukan sahaja menyentuh isu kreativiti, malah melibatkan hak cipta, privasi dan maruah artis. Berikut ialah lima selebriti Korea yang berani menyuarakan isu ini.
TWICE
Kumpulan wanita popular ini turut menjadi mangsa penyebaran video deepfake yang mencemarkan imej mereka.
Agensi mereka, JYP Entertainment, pernah mengeluarkan satu kenyataan tegas sebelum ini.
“Kami memandang serius isu deepfake ini. Banyak video palsu yang melibatkan artis kami tersebar di media sosial, dan ia mencemarkan nama baik mereka.
“Semua bahan tidak sah yang menggunakan imej artis kami akan dipantau, dan tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi. Privasi artis adalah hak mutlak yang perlu dihormati,” menurut kenyataan rasmi agensi tersebut.
BANG CHAN (STRAY KIDS)
Ketua kumpulan Stray Kids ini pernah menonton sendiri AI cover menggunakan suaranya menyanyikan lagu Seven nyanyian Jungkook.
Katanya, dia tidak dapat menerima perkara itu yang disifatkan sangat tidak ‘natural’.
“Saya terus terdiam. Suara itu kedengaran seperti saya. Itu menakutkan kerana sesiapa boleh cipta lagu menggunakan suara tanpa izin,” katanya.
CHENLE (NCT DREAM)
Chenle tampil lantang ketika mengulas isu teknologi AI yang mampu meniru suara penyanyi.
“Sebab itulah saya benci dengan AI. Teknologi ini memang hebat, tetapi ia menjadikan pekerjaan kami sebagai penyanyi seolah-olah tidak berharga. Jika mesin boleh meniru suara saya dengan mudah, apa gunanya saya berlatih bertahun-tahun untuk menyanyi?
“Muzik sepatutnya datang daripada manusia, bukannya komputer,” katanya, disokong oleh ahli kumpulan lain.
JUNGKOOK (BTS)
Vokalis utama BTS ini tidak dapat menyembunyikan keresahannya apabila mendengar sendiri AI vocal covers yang meniru suaranya menyanyikan lagu-lagu popular.
“Saya terkejut dan agak takut apabila pertama kali mendengarnya. Memang bunyinya hampir sama dengan saya, tetapi ada sesuatu yang hilang. Muzik bagi saya adalah tentang emosi dan keikhlasan.
“Bila suara saya ditiru oleh mesin, ia kedengaran kosong. Saya bimbang satu hari nanti orang tidak dapat bezakan apa itu suara asli dan apa itu tiruan,” kata Jungkook dalam satu siaran langsung di platform Weverse.
JEON SOMI
Penyanyi solo ini pernah melihat beberapa AI covers menggunakan suaranya. Reaksi awalnya mencetuskan gelak tawa, namun dia kemudian melahirkan kebimbangan.
“Hal seperti ini memang gila. Pada mulanya saya ketawa kerana pelik mendengar suara saya menyanyikan lagu orang lain, tetapi semakin lama saya dengar, semakin menakutkan.
“Walaupun tidak sama seratus peratus, ia hampir meyakinkan. Saya berasa tidak selesa apabila orang boleh menghasilkan sesuatu menggunakan suara saya tanpa izin,” jelasnya.