PUTRAJAYA: Usaha penyelidikan pendigitalan dan transliterasi karya agung Melayu akan dilaksanakan melalui pembangunan model kecerdasan buatan (AI) dan model Bahasa Besar Malaysia (MyLLM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, aplikasi tersebut membolehkan proses transliterasi dan digitalisasi karya-karya agung dapat dilakukan dengan lebih pantas, tepat dan menyeluruh.
“Yayasan Karyawan dengan kerjasama pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia sedang melaksanakan inisiatif penting tersebut.
“Kerajaan akan berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya, khususnya dari segi sokongan kewangan, bagi memastikan usaha murni ini dapat diteruskan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamatnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Perpaduan Negara, serta Yayasan Karyawan bagi menggabungkan usaha dalam membangunkan serta memperkenalkan karya-karya sastera dalam bentuk yang lebih segar dan relevan.
“Sebagai contoh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalinkan kerjasama dalam inisiatif ini, begitu juga dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan beberapa universiti lain.
“Usaha ini bertujuan untuk memastikan manuskrip-manuskrip besar yang ada dapat dikekalkan, diangkat semula serta diakses oleh masyarakat secara lebih meluas,” ujarnya. – UTUSAN