PETALING JAYA: “Apa yang kami alami ketika ditahan tentera Zionis hanya sekecil kuman jika dibandingkan dengan penderitaan rakyat Palestin selama berpuluh tahun.”
Demikian luahan seorang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) Razali Awang yang berkongsikan pengalaman getir bersama 22 rakyat Malaysia ditahan tentera rejim Zionis pada 2 Oktober lalu.
Katanya, dia yang ketika itu menaiki kapal Inana bersama lapan aktivis yang lain dikurung dalam kabin seluas dua hingga tiga meter.
Bagaimanapun, jelasnya, pengalaman menyertai puluhan misi kemanusiaan dan membuat liputan di medan perang sebelum ini semasa menjadi pengamal media membuatkannya optimis dan kekal positif ketika ditahan lebih 30 jam.
Menurutnya, setiap cabaran yang dihadapi sepanjang pelayaran dan penahanan itu hanyalah sekelumit kecil berbanding kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin saban hari di bawah kepungan rejim Zionis.
“Namun, apa yang saya alami (pengalaman) ini hanya sekecil kuman jika dibandingkan dengan penderitaan rakyat Gaza yang diperlakukan seperti binatang dan dibunuh.
“Saya telah bersiap sedia secara mental dan fizikal malah latihan dan kursus yang kami jalankan sebelum pelayaran (aktivis) sebagai persediaan bagaimana untuk menghadapi tentera Israel ketika ditahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Razali berkata, pelayaran ke Gaza bukan semata-mata untuk pencapaian peribadi namun membawa mesej kemanusiaan secara global.
Ujarnya, lebih 80 peratus yang ada di tengah lautan bersatu bagi membawa mesej yang jelas demi rakyat Palestin.
Seorang lagi aktivitis, Danish Nazran Murad, 26, berkata, walaupun tidak dapat masuk ke Gaza kerana berjaya dipintas dan ditahan tentera Israel namun dia tidak serik untuk menyertai misi kemanusiaan itu lagi.
“Kalau ada peluang, saya mahu sertai lagi, kalau boleh mahu masuk ke Gaza. Walaupun tidak sampai ke Gaza, misi ini tidak gagal kerana ia berjaya membawa mesej sejagat kepada seluruh dunia,” katanya.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
Namun, nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia apabila ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Oktober lalu hasil usaha keras Perdana Menteri serta bantuan kerajaan Turkiye. – UTUSAN










