PETALING JAYA: Pelakon, Anzalna Nasir menyeru golongan yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial menggunakan pengaruh mereka untuk menyuarakan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian.
Anzalna berpendapat, golongan sebegini harus lebih bijak dalam memainkan peranan mereka untuk bersuara mengenai sesuatu isu semasa dan tidak hanya menumpukan pada kepentingan peribadi semata.
“Apa gunanya mempunyai berjuta pengikut jika ia hanya digunakan untuk kepentingan peribadi atau perniagaan semata-mata.
“Gunakan pengaruh anda sebaik mungkin bukan hanya untuk perniagaan, tetapi juga untuk memberi suara kepada perkara yang benar-benar memerlukan perhatian,” katanya di Threads
Dalam hantaran sama, aktres itu turut menasihatkan golongan yang berpengaruh tersebut supaya yakin pada rezeki yang ditetapkan oleh Sang Pencipta meskipun berdepan kerugian usai menyuarakan sesuatu isu.
“Jangan takut rezeki akan terjejas percayalah, rezeki semuanya datang dari Allah,” ujarnya.
Sejak kebelakangan ini, Anzalna dilihat semakin lantang menyuarakan pandangan dan mengulas perihal semasa terutamanya berkaitan dengan isu Palestin yang semakin menjadi soroton di media sosial.
Kagum dengan semangat dan kebijaksanaannya menggunakan pengaruh yang dimiliki, perkongsian tersebut secara tidak langsung meraih pelbagai respons dari netizen di ruangan komen.
“Dalam gelak-gelak, masih lagi boleh fikir kemanusiaan. Tahniah Anzalna, jangan pilih bulu. Rezeki datang dari Allah SWT. Jangan takut untuk berjuang,” kata netizen.
“Anzalna seorang selebriti yang cantik dan bijak. Dan kelakar juga. Tak ramai selebritii tempatan yang seperti ini,” puji seorang pengguna akaun.
“Terima kasih Anzalna kerana bersuara,” kata seorang lagi netizen.-UTUSAN