KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hari ini menyaksikan detik bersejarah perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.
Permeteraian itu penting untuk keamanan serantau dan mengukuhkan peranan Malaysia dan AS sebagai pengantara perjanjian damai itu.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan disertai Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
Perjanjian bersejarah itu menandakan berakhirnya ketegangan bersenjata di sempadan kedua-dua negara yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu, dan dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomatik rantau Asia Tenggara.
Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, dan beberapa diplomat kanan antarabangsa.
Malaysia dilaporkan memainkan peranan penting sebagai perantara rundingan damai sejak Julai lalu dengan sokongan daripada ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hubungan kedua-dua negara berjiran itu kembali tegang Julai lalu apabila tercetus pertempuran paling sengit dalam tempoh beberapa dekad yang mengorbankan lebih 40 nyawa dan memaksa kira-kira 300,000 penduduk melarikan diri.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk gencatan senjata, yang sebahagiannya diusahakan oleh Trump, selepas lima hari pertempuran dan sejak itu berulang kali berbalas tuduhan pelanggaran gencatan senjata.-UTUSAN










