PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Gyeongju, Korea, bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang dijadual berlangsung dua hari bermula Jumaat ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, sepanjang Minggu AEL, perbincangan akan bertumpu kepada tema ‘Building a Sustainable Tomorrow” dan tiga keutamaan-keutamaan yang ditetapkan iaitu “Connect, Innovate, and Prosper”.
Katanya, persidangan penting pada tahun ini menandakan genap 20 tahun sejak kali terakhir Korea menjadi tuan rumah kepada AELM, iaitu pada tahun 2005 di Busan.
“Presiden Lee Jae Myung akan mempengerusikan AELM dan mengetuai perbincangan berhubung pengukuhan perdagangan dan pelaburan dalam ketidaktentuan global yang semakin meruncing.
“Ini termasuk pemerkasaan kerjasama awam-swasta bagi menjana kemakmuran ekonomi; dan pemanfaatan trend memuncul sebagai pemacu Pembangunan,” katanya.
Menurut Wisma Putra, Anwar akan menyampaikan kenyataan Malaysia semasa Sesi Dialog Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dengan Tetamu Pengerusi pada 31 Oktober dan Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC pada 1 November.
Ia bagi berkongsi dasar-dasar dan pencapaian negara, serta memperjuangkan kepentingan-kepentingan negara-negara Selatan Global.
“Selain itu, penglibatan Perdana Menteri sepanjang AELW turut merangkumi dialog bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain.
“Perdana Menteri juga akan bertemu dengan syarikat-syarikat tempatan utama bagi meneroka potensi dalam perniagaan, perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Sebagai anggota pengasas APEC, katanya, penglibatan aktif Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC mencerminkan komitmen berterusan negara untuk memajukan agenda kerjasama ekonomi serantau, kemakmuran bersama dan pembangunan yang terangkum. – UTUSAN










