Anggota polis IPD Gerik maut nahas babitkan dua treler - Utusan Malaysia

Anggota polis IPD Gerik maut nahas babitkan dua treler

KEADAAN kereta anggota polis IPD Gerik yang terlibat nahas dengan dua buah treler di Kilometer 85.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu dekat Kampung Tawai, Gerik hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang anggota polis maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan dua buah treler di Kilometer 85.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu dekat Kampung Tawai di sini hari ini.

Kejadian itu mengorbankan Sarjan Detektif Mohd. Fahmi Arzmi, 42, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios merupakan anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, maklumat kemalangan membabitkan dua kenderaan berat itu diterima pihaknya pada pukul 1.50 pagi.

Katanya, kejadian berlaku ketika kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dan berada di belakang treler membawa muatan kayu balak dipandu lelaki berusia 59 tahun.

“Sampai di lokasi kejadian, treler muatan baja dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun yang datang dari arah bertentangan telah terbabas sebelum melanggar bahagian kanan treler muatan kayu balak.

“Pelanggaran itu menyebabkan dua kenderaan berat berkenaan bergesel dengan treler baja masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam kejadian itu, pemandu treler muatan baja cedera di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan manakala pemandu treler balak tidak cedera.

Katanya, mayat anggota polis itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nik Zailan Nik Li di talian 019-9004785,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN