Ops Pantau: KPDN rekod nilai rampasan lebih RM1 juta setakat 26 Februari - Armizan

Ops Pantau: KPDN rekod nilai rampasan lebih RM1 juta setakat 26 Februari – Armizan

ARMIZAN Mohd Ali di Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan bertempat di pekarangan Dewan SMK Pengalat, Papar, Sabah. - Ihsan KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan RM1,093,810.65 dalam Ops Pantau tahun ini melibatkan seluruh negara setakat 26 Februari lepas.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 16,059 pemeriksaan dan 295 kes direkodkan sepanjang pelaksanaan ops berkenaan bermula 19 Februari lalu di seluruh negara.

Pelaksanaan Ops Pantau telah dijalankan di lokasi tumpuan termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya serta kedai runcit di seluruh negara. 

“Jumlah ini termasuk 229 kes melibatkan pengeluaran kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM57,500. Pelanggaran tertinggi yang dikesan adalah kegagalan memaparkan tanda harga dengan 143 kes, diikuti kesalahan alat timbang dan sukat dengan 78 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan bertempat di pekarangan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat di sini, hari ini.

Susulan itu, Armizan menegaskan, KPDN akan terus mempertingkatkan pemantauan di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Pantau. 

“Pengguna dinasihatkan agar terus menjadi mata dan telinga kementerian dengan menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi KPDN sekiranya mendapati sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, mengulas Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sepanjang tempoh Ramadan ini, beliau berkata, KPDN menyasarkan sebanyak 1,898 siri penganjuran PJRM Ramadan di seluruh negara. 

“Sehingga 28 Februari, sebanyak 541 siri PJRM Ramadan telah dilaksanakan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×