KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelajar perempuan yang maut dalam tandas di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya mengesahkan sebanyak 200 tikaman ditemukan di atas badan anaknya.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping berkata, perkara itu berdasarkan laporan hasil bedah siasat dijalankan pihak patologi yang diterimanya.
“Kami tahu laporan mengatakan 50 tikaman, tetapi sebenarnya anak perempuan saya mengalami 200 tikaman bahagian leher termasuk bahagian rusuk.
“Bukan tetakan, tetapi tikaman. Dari bahagian atas kanan turun ke kawasan kaki,” kata dalam sidang akhbar di Nirvana Center di sini semalam.
Lee Ping berkata, banyak maklumat palsu telah tersebar di media sosial sejak kejadian tragik itu.
“Anak saya sudah menjadi mangsa. Saya harap netizen hentikan penyebaran cerita palsu termasuk dakwaan tidak benar kononnya dia dirogol.
“Itu semua tidak betul. Saya hanya mahu tahu kebenaran, apa sebenarnya yang berlaku kepada anak saya,” katanya.
Wanita itu juga memberitahu bahawa anak bongsunya itu tidak pernah mengenali suspek yang berusia 14 tahun walaupun mereka dalam satu sekolah.
Pada Selasa lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat meninggal dunia dipercayai ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek kes tikam itu dipercayai terpengaruh dengan permainan video dan kandungan media sosial sehingga mendorongnya melakukan tindakan kejam.
Katanya, bagaimanapun polis sedang menyiasat sebarang laman media sosial, permainan video dan sebagainya yang dilayari suspek sehingga memberi pengaruh sedemikian terhadapnya.
“Dalam kenyataan sebelum ini, kita nyatakan suspek terpengaruh dengan media sosial. Ini luas, jadi kita beri ruang kepada polis untuk tentukan medium mana yang benar beri pengaruh kepadanya.
“Permainan video berkemungkinan itu salah satunya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat premis Little India di sini semalam.-UTUSAN









