BALING: Empat remaja lelaki termasuk tiga masih bergelar pelajar dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Baling hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan tingkatan tiga, sejak Jun lalu.
Tiga tertuduh berusia 15 tahun dan seorang lagi berumur 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berasingan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, setiap mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut pada Jun, Julai dan dua kejadian pada Ogos lalu di sebuah ladang sawit Becah Sawa dan dalam kelas di sebuah sekolah menengah, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding secara tertutup dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula bagi lantikan peguam.
Akhbar ini pada 16 Oktober lalu melaporkan tiga pelajar sebuah sekolah termasuk seorang bekas pelajar ditahan polis setelah disyaki terbabit dalam kes salah laku seksual di dalam kelas dan menyebarkan bahan lucah di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, kesemua mereka ditahan pada hari sama pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun yang dibuat kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, laporan dibuat pengadu selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video membabitkan anaknya yang berbogel. – UTUSAN