MELAKA: Pergaduhan antara seorang lelaki dengan pengawal keselamatan di Masjid Selat Melaka di sini, yang tular sejak semalam berpunca daripada teguran terhadap isteri lelaki itu yang tidak memakai tudung ketika ingin memasuki kawasan masjid.
Dalam klip video satu minit sembilan saat yang tersebar di media sosial, kedua-duanya dilihat bertumbuk dan menjerit sebelum dileraikan orang awam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat lelaki berusia 43 tahun itu pada pukul 4.13 petang dan kejadian berlaku ketika pasangan dari Kuala Lumpur itu ingin menunaikan solat Zohor.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, kenderaan mereka ditahan di pintu masuk kerana si isteri tidak memakai tudung sebagaimana ditetapkan kepada semua pengunjung wanita dan pengawal keselamatan menasihatkan agar aurat ditutup sebelum memasuki kawasan masjid, namun lelaki terbabit mendakwa isterinya sudah menutup kepala menggunakan sweater.
“Pengawal keselamatan berkenaan kemudian kembali ke balai pengawal untuk memaklumkan kejadian kepada penyelia, tetapi pengadu keluar dari kereta dan mengetuk bumbung kenderaan tiga kali sambil berkata, ‘aku hendak sembahyang ni’,” katanya.
Christopher berkata, tindakan itu mencetuskan pertengkaran mulut sebelum berlaku insiden tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk di kawasan parkir.
Beliau berkata, lelaki itu kemudian menarik semula laporannya selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan perselisihan itu secara baik. – UTUSAN










