Amanah berhimpun sampai mesej isu Israel

Amanah berhimpun sampai mesej isu Israel

RAJA Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (kanan) melancarkan buku Politik Bukan Akidah di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lawatan  Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia minggu depan memberi ruang kepada rakyat negara ini menunjukkan pendirian tegas terhadap kekejaman rejin Zionis di Gaza, Palestin.

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, parti itu bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan perhimpunan aman Ahad ini sebagai langkah awal menyampaikan mesej ketidakpuasan hati terhadap dasar luar Amerika Syarikat yang dilihat berat sebelah dalam konflik Palestin-Israel.

Katanya, perhimpunan aman itu bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar Amerika Syarikat yang terus menyokong Israel.

“Kami akan bertindak sebagai backbencher rakyat bagi menyuarakan keluhan hati mereka supaya Amerika Syarikat tidak lagi menjadi sumber utama pembekalan senjata kepada Israel,” katanya selepas melancarkan buku Politik Bukan Akidah di sini hari ini.

Menurut Raja Kamarul, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Trump atas kapasiti rasmi sebagai Pengerusi ASEAN dan Perdana Menteri Malaysia, Amanah berpandangan rakyat wajar mengambil peluang ini menyatakan bantahan terhadap dasar Amerika Syarikat yang menyebelahi Israel.

“Kita faham tanggungjawab beliau sebagai tuan rumah ASEAN tetapi rakyat juga berhak menyatakan pendirian terhadap kuasa besar yang menindas umat Palestin,” katanya.

Beliau menegaskan, Amanah tidak berdiam diri apabila melihat negara Barat terus mengamalkan sikap hipokrit terhadap isu kemanusiaan di Timur Tengah.

“Ini bukan soal politik semata-mata tetapi soal kemanusiaan. Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif menyuarakan keadilan buat rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN