AirAsia tawar tambang tetap RM299 sempena PRN Sabah

AirAsia tawar tambang tetap RM299 sempena PRN Sabah

AirAsia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan, AirAsia menawarkan promosi tambang tetap selama tiga hari bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.

Promosi tambang tetap berharga RM299 sehala termasuk semua caj itu ditawarkan bagi penerbangan dari destinasi domestik utama ke Sabah antara 26 hingga 28 November melibatkan lebih 4,300 tempat duduk merangkumi lapan laluan dan 24 penerbangan.

Antara laluan terlibat ialah Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan; Johor Bahru ke Kota Kinabalu dan Tawau serta Kota Bharu dan Pulau Pinang ke Kota Kinabalu.

Tawaran tambang promosi tersebut boleh ditempah bermula hari ini hingga 26 Oktober 2025 melalui laman web airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha AirAsia untuk menyediakan perjalanan mampu milik dan menyatukan komuniti sempena hari bermakna tersebut.

“Pilihan raya merupakan hari yang menyatukan masyarakat untuk membentuk masa depan, dan inisiatif ini adalah cara kami membantu rakyat untuk pulang dan mengambil bahagian.

“Sabah sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam rangkaian kami dan inilah salah satu cara kami meraikan negeri ini serta rakyatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut AirAsia, inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan syarikat penerbangan tersebut dalam menyokong rakyat Malaysia untuk pulang mengundi, selain memperkukuh kesalinghubungan ke negeri berkenaan yang menjadi antara pasaran domestik terpenting bagi syarikat itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN