SEPANG: Kedua-dua koc Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sekali lagi mengalami gangguan perkhidmatan selepas mengalami trip kuasa sementara pada pukul 8.30 malam tadi.
Menurut kenyataan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), prosedur pemulihan penumpang terus diaktifkan dan pasukan respon lapangan terbang dikerah bagi membantu penumpang yang berada di dalam kereta api ke terminal.
“Operasi bagi salah satu Aerotrain kembali pulih sekitar pukul 9.27 malam tadi dan kini berfungsi seperti biasa, sementara kerja membaik pulih diteruskan pada kereta api yang satu lagi.
“Pengurusan pengangkutan alternatif turut digerakkan segera bagi memastikan pergerakan penumpang antara terminal dan bangunan satelit tidak terhenti,” katanya hari ini.
KLIA juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar insiden ini.
Pada masa sama, pihak pengurusan memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran semua penumpang semasa kerja pemulihan dijalankan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini memaklumkan sebanyak 19 kali gangguan perkhidmatan Aerotrain berlaku di KLIA sejak ia beroperasi dalam tempoh 2 Julai hingga 31 September lalu.
Antara sebab berlakunya gangguan itu adalah seperti isyarat, selain faktor penumpang yang membuka pintu Aerotrain secara paksa. – UTUSAN