ACFTA 3.0 beri tumpuan perdagangan digital, kemampanan, PMKS

ACFTA 3.0 beri tumpuan perdagangan digital, kemampanan, PMKS

ANWAR Ibrahim (paling kanan) dan Li Qiang (paling kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), yang dimeterai antara Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Wang Wentao (dua dari kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini menandakan langkah utama dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan memodenkan rangka kerja perdagangan blok itu dengan rakan kongsi terbesarnya.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao.

Pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang.

ACFTA yang dinaik taraf dijangka akan meluaskan integrasi di seluruh rantau ini dengan memberi tumpuan kepada perdagangan digital, kemampanan dan keterangkuman yang lebih besar untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Ia menandakan pencapaian baharu dalam kerjasama strategik ASEAN-China yang bermatlamat memperkukuh daya tahan ekonomi serantau serta memperlihatkan komitmen blok serantau itu terhadap keterangkuman dan kemampanan.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ACFTA 3.0 adalah bagi memperkemas aktiviti perdagangan antara negara anggota ASEAN dan China.

Katanya, ASEAN juga berusaha untuk menyeragamkan pelaburan dengan China yang kini merupakan rakan dagang terbesar rantau ini.

“Ini merupakan perkembangan yang sangat positif bagi negara ASEAN kerana ia membolehkan kami menyelaras usaha perdagangan dengan lebih baik, sama ada dalam kalangan ASEAN mahupun bersama China.

“Terdapat juga beberapa mesyuarat dua hala lain yang akan berlangsung hari ini, termasuk antara Australia dan New Zealand,” katanya kepada pemberita pada sebelum menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut.

Beliau menambah,  kedua-dua pihak juga akan meneliti langkah-langkah untuk memudahkan perdagangan serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi dalam bidang berkenaan.

Perjanjian Rangka Kerja ASEAN-China mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif telah ditandatangani pada November 2002 semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-6 yang bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi antara ASEAN dan China dengan menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China dalam tempoh 10 tahun.

Perjanjian itu merangkumi bidang utama seperti perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, kerjasama ekonomi serta mekanisme penyelesaian pertikaian.

ACFTA telah dilancarkan secara rasmi pada 1 Januari 2010, sekali gus mewujudkan platform kukuh untuk penglibatan ekonomi yang lebih mendalam.

Sejak itu, perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan China telah berkembang dengan pesat, disokong oleh Perjanjian Rangka Kerja serta FTA ASEAN-China 2004.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN