AADK perluas latihan TVET bantu bekas penagih kembali bekerja

AADK perluas latihan TVET bantu bekas penagih kembali bekerja

SAIFUDDIN Nasution Ismail pada Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/NURIN NABILAH MAHMOD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan memperluaskan pelaksanaan latihan kemahiran TVET kepada pelanggannya mulai tahun hadapan bagi membantu mereka memperoleh peluang pekerjaan selepas tamat tempoh pemulihan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program tersebut akan dimulakan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta sebagai projek permulaan di beberapa pusat rawatan dan pemulihan terpilih sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.

“Buat permulaan, kita akan laksanakan projek perintis terlebih dahulu bagi menilai keberkesanan pendekatan ini sebelum ia diperluas sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, ketika ini AADK mempunyai lebih 55,000 pelanggan di seluruh negara, dengan sebahagian besar mengikuti program pemulihan dalam komuniti, manakala sekitar 5,000 orang menjalani pemulihan di pusat atau institusi.

Beliau berkata, latihan TVET akan memberi tumpuan kepada bidang berimpak tinggi seperti mekanikal, pertanian moden, perkhidmatan dan teknologi asas bagi memastikan pelanggan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa model sama yang dilaksanakan Jabatan Penjara sebelum ini menunjukkan impak positif, apabila kira-kira 800 individu yang mengikuti latihan kemahiran berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh sebulan selepas dibebaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN