PARLIMEN: Lebih RM25 juta dana penipuan disita sejak 2022

PARLIMEN: Lebih RM25 juta dana penipuan disita sejak 2022

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih RM25 juta dana milik mangsa penipuan disita sejak tahun 2022, dengan sejumlah RM7.33 juta daripadanya telah dipulangkan semula kepada mangsa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemulangan dana tersebut tertakluk kepada beberapa faktor termasuk status dana dalam akaun terlibat, tempoh pelaporan oleh mangsa serta proses siasatan dan perundangan yang sedang berkuat kuasa.

“Berdasarkan statistik Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025, didapati trend menunjukkan peningkatan yang konsisten dan ketara bagi jumlah wang yang disita serta dipulangkan dari tahun 2023 hingga 2025.

“Hal ini mencerminkan pemerkasaan tindakan penguatkuasaan dan kecekapan pemulangan dana,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tahap keberkesanan NSRC dalam melumpuhkan jenayah kewangan dalam talian di Malaysia dan berapa jumlah dana yang telah dipulangkan semula kepada mangsa penipuan atau scam menerusi pusat berkenaan.

Saifuddin berkata, pada tahun 2024, jumlah penyitaan merekodkan lonjakan drastik kepada RM7.26 juta, namun jumlah pemulangan kepada mangsa masih pada tahap rendah iaitu sebanyak RM508,479.39.

“Walau bagaimanapun, tahun 2025 menunjukkan pencapaian paling signifikan apabila jumlah wang yang disita terus meningkat kepada RM17.49 juta, sementara jumlah wang yang dipulangkan melonjak lebih 13 kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada RM6.65 juta,” katanya.

Jelas Saifuddin, hal ini membuktikan bahawa mekanisme pemulangan wang kepada mangsa telah menjadi semakin efektif seiring dengan peningkatan jumlah rampasan aset daripada aktiviti penipuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN