243 graduan prospek penjara terima sijil kemahiran

243 graduan prospek penjara terima sijil kemahiran

RAVI (kiri) dan Amran berbangga diberi peluang kedua untuk memulakan kehidupan baru setelah dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia pada Majlis Konvokesyen SWCorp Kali Keempat di Pusat Kovension Bangi Avenue, Selangor hari ini.-UTUSAN/AFIERA KHAIRULAZMI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: “Saya harap semua orang diberi peluang kedua dalam hidup. Saya berjanji, tidak akan sia-siakan peluang yang diberi.”

Demikian luahan seorang graduan prospek penjara, Ravi (bukan nama sebenar), 32, yang menerima Sijil Kemahiran Malaysia pada Majlis Konvokesyen SWCorp Kali Keempat di Pusat Kovension Bangi Avenue di sini, hari ini.

Dia yang ditahan sejak tahun 2023 dan bakal dibebaskan tahun depan itu berjaya menamatkan pengajiannya selepas lapan bulan bertungkus lumus. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usaha menamatkan pengajian ini penuh cabaran namun isteri dan dua anak saya jadi inspirasi untuk habiskan sijil ini. Saya betul-betul tidak sangka akan diberi peluang sebegini sejak dipenjarakan dua tahun yang lalu,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut.

Seorang lagi graduan, Amran, 35, berkata, penganugerahan sijil tersebut membuatkan dirinya rasa lebih dihargai.

Dia yang berasal dari Perlis itu berkata, dia berharap sijil kemahiran itu akan memudahkannya mendapat pekerjaan halal untuk menyara keluarga.

“Bukan senang nak capai tahap ini. Saya bangga dengan pencapaian sendiri. Saya sudah berkahwin dan ada seorang anak, jadi saya tak mahu ulang kesilapan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, setakat ini kira-kira 1,100 prospek telah berjaya menamatkan latihan.

Katanya, pihaknya berusaha membantu jabatan penjara bagi menempatkan prospek berhampiran dengan lokaliti masing-masing.

“Langkah ini bertujuan membolehkan mereka mengekalkan kehidupan lebih stabil selepas dipilih bekerja dengan syarikat konsesi seperti Alam Flora, SWM Environment (SWM) dan Environment Idaman (e-idaman),” ujarnya.

Tambahnya, perbincangan awal dengan pihak Jabatan Kemahiran juga telah diadakan bagi meneliti keperluan prospek di penjara.

“Hasil perbincangan itu, Jabatan Kemahiran bersetuju untuk menambah lagi pilihan kursus yang boleh diikuti. Antaranya termasuk bidang kraf tangan serta penghasilan baja kompos yang dijangka bermula tahun depan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×