RANTAU PANJANG: Kerja-kerja merobohkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini, yang menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA di sini menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa selama dua bulan.
Katanya, hasil semakan yang dilakukan mendapati 216 daripada jumlah keseluruhan 233 pangkalan haram bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli itu dibina atas tanah milik kerajaan.
“Baki tujuh lagi binaan itu atas tanah milik persendirian. Saya sudah bercakap perkara ini sudah hampir setahun dan masyarakat mulai faham tujuan sebenar tindakan tersebut diambil.
“Saya harap penduduk dapat memberikan kerjasama penuh sepanjang pelaksanaan ini dijalankan,” katanya selepas turun padang meninjau kerja-kerja perobohan pangkalan haram di pangkalan haram Gergaji yang turut dihadiri oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Nik Raisnan Daud.
Mohd. Yusoff berkata, kerja-kerja perobohan itu dipantau oleh polis dan agensi yang terlibat.
Beliau yakin kerja-kerja merobohkan pangkalan haram berkenaan mampu mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan di negeri ini.
Beliau juga percaya perobohan pangkalan haram itu sudah berada dalam pengetahuan pihak berkuasa Thailand.
Katanya, ini kerana Polis Kelantan sudah acap kali menghebahkan perkara tersebut kepada pengetahuan umum. – UTUSAN










