PETALING JAYA: Semua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Zionis, Khamis lalu, sudah tiba di Istanbul, Turkiye, sebentar tadi.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Istanbul sekitar pukul 9.15 malam (waktu Malaysia) dengan menaiki pesawat khas yang diterbangkan Turkiye bagi mengambil rakyatnya dan rakyat Malaysia di selatan Israel.
Ketibaan mereka di Turkiye itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman sosial Facebook miliknya sebentar tadi.
Beliau berkata, semua wira dan wirawati Malaysia itu akan diberikan pemeriksaan kesihatan, sokongan dan bantuan menyeluruh termasuk aspek psikologi.
“Jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka kembali ke bumi Malaysia dalam masa terdekat.
“Semoga semua urusan perjalanan pulang anak-anak Malaysia ini dipermudah dan dilindungi Allah SWT. Alhamdulillah!,” katanya hari ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan bahawa hasil kerjasama diplomatik dengan pelbagai pihak termasuk Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) membuahkan hasil apabila 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa berhampiran Gaza, dibebaskan.
Semua mereka dihantar ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel sebelum dibawa ke Istanbul dengan menaiki pesawat khas yang diterbangkan Turkiye.
Semua aktivis Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel menuju ke Istanbul, Turkiye pada 6.45 petang waktu Malaysia dengan menaiki pesawat Turkish Airline. – UTUSAN