PETALING JAYA: Sebanyak 16 buah makmal Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dibina di seluruh Malaysia dengan anggaran kos keseluruhan RM40.2 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia akan digunakan untuk mereka bentuk 3D bagi membina bangunan, jalan, jambatan dan projek binaan lain.
“JKR akan ada makmal BIM di setiap negeri untuk projek khas menggunakan perisian komputer terkini selari dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
“Sektor pembinaan mesti pantas, berkualiti dan guna teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things(IOT), Autonomous Robotic, 3D Printing, Digital Twins termasuk Modular Precast System berkonsepkan Lego mampu tingkatkan kecekapan projek pembinaan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri perasmian Program JKR BIM Day 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Program bertemakan “BIM: Bridging Design to Sustainable Public Assets Through Digital Twins & AI” menghimpunkan sekitar 800 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, pihak swasta dan warga akademik.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, sebanyak 60 kertas kerja dibentangkan oleh pakar tempatan dan antarabangsa dari Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina, India, China, Rusia dan Sepanyol sepanjang program.
Selain itu, 31 pempamer turut disediakan sepanjang program dua hari itu bagi memperkenalkan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang BIM. – UTUSAN










