Tujuh termasuk lima murid SK Taman Permas Jaya 2 dijangkiti Influenza A

Tujuh termasuk lima murid SK Taman Permas Jaya 2 dijangkiti Influenza A

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai lima murid Kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2, di sini disahkan dijangkiti Influenza A, manakala 15 lagi murid menunjukkan gejala jangkitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Azman Tamin berkata, seorang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) turut disahkan positif, sementara enam guru serta dua PPM lain disahkan bebas jangkitan dan dibenarkan bertugas seperti biasa.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru telah mengeluarkan notis penutupan kelas PPKI selama 10 hari bermula 8 Oktober 2025 pada pukul 12.20 tengah hari hingga 17 Oktober ini.

“Langkah ini dilaksanakan mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan kawalan serta pencegahan penularan penyakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman, semua guru, murid dan PPM yang dijangkiti diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari sehingga 18 Oktober, manakala pihak sekolah telah diarah melaksanakan kerja-kerja sanitasi di kawasan terlibat.

“Warga sekolah yang menunjukkan gejala juga diingatkan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan tidak hadir ke sekolah sehingga benar-benar pulih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN