127 projek dilaksana tangani isu kepadatan sekolah

127 projek dilaksana tangani isu kepadatan sekolah

ALEXANDER Nanta Linggi ketika meninjau projek Kelas Darjah Tambahan di SK BTHO 2, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHERAS: Sebanyak 127 projek di bawah inisiatif menangani isu sekolah berkepadatan tinggi telah dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan (KPM) di enam negeri dengan 53 projek berjaya disiapkan dan diserahkan pada hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek itu melibatkan pembinaan bilik darjah tambahan bagi aliran perdana serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), selain pembinaan dewan serbaguna terbuka berbumbung di sekolah terlibat.

“Kesemua projek yang dilaksanakan di bawah program ini telah disiapkan dengan sempurna tanpa sebarang masalah atau kelewatan. Tiada projek sakit dalam pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Projek Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi dan Projek Dewan Serbaguna Berbumbung Negeri Selangor di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, di sini hari ini. 

Menurut Alexander, daripada 127 projek yang dikenal pasti, sebanyak 119 projek telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) manakala baki lapan projek dalam proses kerja tapak dan dijangka siap secara berperingkat menjelang akhir tahun ini. 

Katanya, kejayaan pelaksanaan projek turut memperlihatkan kecekapan baharu dalam penyampaian infrastruktur pendidikan apabila pembinaan tiga bilik darjah beserta laluan berbumbung dapat disiapkan dalam tempoh hanya dua bulan, manakala lima bilik darjah siap dalam masa kurang tiga bulan.

“Ia jelas untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan menyediakan persekitaran sekolah yang lebih selesa serta kondusif kepada murid dan guru,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung turut berjaya disiapkan di 75 buah sekolah di seluruh negara.

“Bagi negeri Selangor sahaja, sebanyak 10 buah projek dewan telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk pelaksanaan, dan kesemuanya telah siap sepenuhnya,” katanya.

Alexander berkata, penyediaan kemudahan baharu itu diharap dapat mempertingkat keupayaan infrastruktur sekolah dalam menampung bilangan murid yang tinggi, selain memberi keselesaan kepada warga pendidik.

“Projek-projek berkenaan bukan sahaja membaik pulih kemudahan sedia ada, malah memperkukuh sistem pendidikan kita bagi melahirkan generasi pemimpin masa hadapan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN