KUALA LUMPUR: Pendekatan yang terbuka namun tegas dan bersepadu perlu menjadi pemacu utama dalam usaha menyelesaikan Laut China Selatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai Penyelaras Negara ASEAN bagi China dari Ogos 2024 hingga Julai 2027, Malaysia kekal komited memperjuangkan kepentingan bersama, khususnya dalam memajukan pelaksanaan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.
Katanya, Malaysia menyeru semua pihak berkepentingan sama ada Negara Anggota ASEAN mahupun Rakan Dialog ASEAN untuk memahami bahawa geografi mengikat semua pihak dan keselamatan serantau mesti menjadi keutamaan dalam setiap tindakan.
“Melalui cabaran ini, ASEAN mesti kekal teguh dan bersatu. Keraguan atau perpecahan hanya akan menggalakkan perpecahan dan menyebabkan percambahan kumpulan minilateral, yang berisiko menjejaskan ASEAN Centrality.
“Adalah penting bagi kita untuk mendokong perkongsian, mengelakkan daripada peningkatan (ketegangan) dan menghormati undang-undang antarabangsa yang kita semua terikat dengannya,” katanya dalam ucapan pembukaannya di Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mohamad berkata, undang-undang antarabangsa dan sistem dunia kini berada di bawah tekanan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ketika kita berdepan cabaran di rantau ini, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap konflik di luar perairan kita,” katanya.
Merujuk kepada krisis kemanusiaan di Gaza, Mohamad berkata, dunia telah menyaksikan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin selama dua tahun kebelakangan ini yang merupakan tragedi dahsyat melibatkan kehilangan nyawa, perpindahan besar-besaran serta penghakisan harapan dan maruah manusia.
“ASEAN menyambut baik usaha untuk mewujudkan penghentian keganasan di Gaza dalam fasa pertama Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Trump. Perkembangan ini menandakan langkah penting ke hadapan,” jelasnya.
Beliau menambah, ASEAN berharap inisiatif itu akhirnya akan membawa kepada penzahiran hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
Mengulas mengenai Myanmar, Mohamad berkata, krisis ini mesti diuruskan melalui kepercayaan, muhibah dan penglibatan yang berterusan dan bukannya paksaan.
“Apabila melibatkan Myanmar, jalan ke hadapan mesti dipandu oleh keazaman dan penglibatan aktif.
“Jika krisis ini dibiarkan tidak dapat diselesaikan, pelbagai isu dalaman akan melimpah merentasi sempadan dalam bentuk jenayah transnasional, aliran pelarian dan ketidakstabilan sosioekonomi yang lebih luas,” ujarnya.-UTUSAN










