Yayasan Waqaf bangunkan Waqf-Linked Sukuk - Utusan Malaysia

Yayasan Waqaf bangunkan Waqf-Linked Sukuk

RIDZWAN Bakar (tengah) dan Meor Redwan Mahayudin (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan keperluan asas pada Program Santuni Komuniti Madani di Teluk Intan hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sedang membangunkan satu instrumen inovatif iaitu Waqf-Linked Sukuk sebagai anjakan paradigma dalam dunia wakaf yang sedang berkembang pesat kini.

Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar berkata, menerusi pengenalan sukuk itu, wakaf dapat bergerak daripada bergantung kepada derma semata-mata kepada model pembiayaan yang lebih mampan.

“Melalui sukuk, kita boleh membiayai projek besar dalam sektor pendidikan, kesihatan, ekonomi, alam sekitar dan kemasyarakatan iaitu projek-projek yang memberi impak terus kepada rakyat.

“Era digital hari ini menuntut kita melakukan transformasi. Sebab itu, YWM juga memperkukuh platform digital wakaf supaya masyarakat boleh berwakaf dengan lebih mudah, telus dan mesra pengguna.

“Melalui digitalisasi, sesiapa sahaja, sama ada anak muda, penjawat awam, mahupun masyarakat desa, boleh menyalurkan wakaf mereka dengan hanya beberapa klik sahaja. Inovasi ini menjadikan wakaf lebih dekat, lebih inklusif dan lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program menyampaikan pelbagai bentuk bantuan untuk sekolah, surau, masjjd dan barangan keperluan asas untuk golongan memerlukan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM107,904.00 menerusi Program Santuni Madani di sekitar Teluk Intan di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Orang Besar Jajahan (OBJ) Hilir Perak, Datuk Dr. Meor Redwan Mahayudin dan Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz.

Ridzwan  berkata, rakan strategik YWM iaitu Bank Rakyat menyediakan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi pemasangan solar di Masjid Melayu Teluk Intan yang dapat mengurangkan kos pembayaran utiliti elektrik sehingga 50 peratus.

“Dua mahasiswa anak Teluk Intan turut menerima biasiswa menerusi myWaqafPTPTN dengan jumlah tajaan sebanyak RM26,363.59,” katanya.

Tambah beliau, pelancaran aplikasi pintar iaitu MasjidNet sepenuhnya pada Disember nanti berperanan penting sebagai pengukuhan inisiatif pendigitalan wakaf di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN