PETALING JAYA: Sebahagian besar perkhidmatan pengangkutan udara global mengalami gangguan besar-besaran susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Memetik laporan The Sunday Guardian, peningkatan risiko keselamatan di ruang udara Asia Barat memaksa syarikat penerbangan antarabangsa membatalkan, menggantung serta mengubah laluan penerbangan bagi mengelakkan zon konflik.
Antara pengendali serantau yang mengambil pendekatan itu termasuk Emirates, Qatar Airways, Flydubai, Oman Air, British Airways, Lufthansa serta Malaysia Airlines.
Di Asia, syarikat seperti Japan Airlines dan Pakistan International Airlines turut terkesan bagi penilaian semula tahap risiko keselamatan.
Langkah itu diambil bagi menjamin keselamatan penumpang dan kru selain mematuhi arahan pihak berkuasa penerbangan beberapa negara yang bertindak menutup ruang udara masing-masing sebagai langkah pencegahan.
Ruang udara yang terjejas melibatkan Iran, Israel, Iraq, Jordan, Syria dan Qatar yang mengambil langkah menutup ruang udara masing-masing atas faktor keselamatan.
Selain itu, beberapa syarikat penerbangan Eropah turut membatalkan penerbangan ke destinasi utama Asia Barat termasuk Tel Aviv, Dubai dan Beirut berikutan peningkatan risiko di rantau berkenaan.
Platform penjejakan penerbangan, Flightradar24 turut memaparkan gangguan itu yang berlaku secara serentak.
Laporan menyebut pihak berkuasa Russia dikatakan mengarahkan semua syarikat penerbangan negara itu menggantung penerbangan ke Iran dan Israel.
Pihak berkuasa juga memberi amaran gangguan dijangka berlarutan sekiranya ketegangan ketenteraan terus memuncak. – UTUSAN










