LUMUT: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di pantai Teluk Batik di sini pagi tadi, ditemukan lemas di perairan Pulau Pangkor, petang ini.
Mangsa, V. Thanabalan, 60, ditemui terapung oleh orang awam kira-kira pukul 5.15 petang.
Jasadnya ditemukan tidak jauh dari Masjid Al-Badr Seribu Selawat, Pulau Pangkor, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Komander Kanan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Timbalan Penguasa Bomba II Suhaimy Mohd Suhail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.28 pagi berhubung kejadian itu.
“Jasad mangsa dibawa dari lokasi mangsa ditemui ke pantai Teluk Batik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata, operasi pencarian bermula awal pagi melibatkan 20 anggota pasukan itu dan empat bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung dan Pulau Pangkor.
Ia turut dibantu masing-masing sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, operasi itu turut melibatkan 11 pegawai dan anggota MARITIM, tujuh pegawai dan anggota APM, enam pegawai dan anggota polis serta enam pegawai dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).
Sementara itu, difahamkan, mangsa dan anak perempuannya berusia awal 20-an datang dari Ipoh dan menginap di sebuah resort di Teluk Batik untuk melancong.
Kedua-duanya kemudian pergi ke pantai Teluk Batik awal pagi tadi untuk ‘mengambil angin’.
Mereka duduk di satu tembok batu yang terletak di penghujung pantai sebelum terjatuh ke dalam laut apabila dipukul ombak ketika air pasang.
Anak mangsa yang masih belajar di ibu negara itu, cuba menyelamatkan bapanya tetapi gagal sebelum mangsa dibawa arus ke tengah laut. – UTUSAN