ROMPIN: Seorang ibu tunggal bukan sahaja kerugian RM103,000 malah dipaksa melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki, beronani dan merakam aksi ranjang itu untuk dihantar kepada seorang bomoh palsu yang dikenalinya melalui aplikasi mencari jodoh.
Mangsa berusia 51 tahun dari Terengganu itu pada mulanya berkenalan dengan suspek melalui aplikasi Omi pada 1 September lalu sebelum berhubung menerusi Telegram.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, suspek mendakwa mangsa terkena buatan orang dan memerlukan rawatan mistik.
“Suspek mengarahkan mangsa menggenggam telur dan garam sebelum meletakkannya di dalam bilik. Mangsa mendakwa telah dipukau sehingga menunjukkan barang-barang kemas miliknya,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, pada 3 September kira-kira pukul 10.30 pagi, mangsa menjual empat utas gelang tangan emas bernilai RM71,350 di sebuah kedai emas di Cukai, Kemaman, Terengganu.
“Mangsa kemudian diarahkan menyerahkan wang tunai berjumlah RM71,000 bersama seutas rantai emas anggaran berat 80 gram dengan meletakkannya di kawasan longkang bawah pokok di Felcra Bukit Serok, Kota Bahagia di sini,” katanya.
Sharif Shai berkata, suspek memperdaya mangsa dengan alasan wang berkenaan ‘ghaib’ dan dikembalikan semula dalam tempoh tiga hingga 14 hari.
“Suspek turut mengarahkan mangsa membuat rakaman video melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki, beronani serta menghantar video terbabit beserta gambar bogel. Semua bahan tersebut diserahkan mangsa pada 4 September,” katanya.
Beliau berkata, pada 5 September kira-kira pukul 6 pagi, mangsa kembali ke lokasi barangan ditinggalkan tetapi mendapati barang berkenaan tiada di situ seperti dijanjikan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian wang tunai dan barangan kemas miliknya dengan nilai keseluruhan berjumlah RM103,000,” katanya yang memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN










