Wali, anak tempatan kriteria calon BN PRN Sabah

Wali, anak tempatan kriteria calon BN PRN Sabah

AHMAD Maslan (empat dari kiri) bersama penduduk selepas menghadiri program santai bersama anak muda di Kampung Jawa Ulu, Ayer Baloi, Pontian semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Individu yang memiliki kriteria ‘Wali’ atau boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disenangi (likeable) diketengahkan sebagai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan calon akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti dan 26 Ketua UMNO Bahagian Sabah boleh menyenaraikan calon masing-masing.

Katanya, UMNO tiada menghadapi masalah bagi memilih calon yang sesuai untuk bertanding PRN Sabah kerana parti mempunyai ramai pemimpin boleh ditampilkan.

“Yang penting jentera parti hendaklah berpadu dan sedia menerima siapa sahaja yang akan dipilih sebagai calon pada PRN tersebut.

“Syarat penting bagi memastikan kemenangan, calon mestilah mempunyai ciri-ciri Wali, anak tempatan dan diterima rakyat. Saya yakin UMNO akan menjadi magnet dalam pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program santai bersama anak muda di Kampung Jawa Ulu, Ayer Baloi, di sini, semalam.

Mengulas mengenai jumlah kerusi ditandingi, Ahmad berkata, jumlah kerusi belum lagi diputuskan, namun Barisan Nasional dan UMNO tidak bertanding semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sepertimana dijelaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Belum ada keputusan muktamad mengenai kerusi-kerusi yang ditandingi oleh BN dan UMNO, kerana DUN Sabah belum lagi dibubarkan, kita tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat kelak.

“Namun jentera pilihan raya UMNO Sabah sudah boleh merangka gerak kerja masing-masing bagi memastikan segala persiapan telah diatur berjalan lancar menjelang hari penamaan calon,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN