PETALING JAYA: Volum transaksi kediaman pada tahun depan dijangka meningkat tiga hingga lima peratus berbanding keseluruhan 2025, didorong oleh subsidi bersasar, pelaburan besar dalam infrastruktur dan inisiatif pertumbuhan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pembeli rumah pertama dan pembeli dalam segmen harga pertengahan rendah juga dijangka memacu pertambahan volum transaksi.
“Kami menjangkakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat dan pada masa sama, peningkatan permintaan terhadap hartanah mewah daripada pelancong asing dan ekspatriat.
“Belanjawan 2026 dijangka merangsang penawaran rumah mampu milik serta permintaan bagi kediaman berharga tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pendorong terbesar bagi transaksi tambahan itu adalah bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion yang membolehkan keluarga membeli rumah lebih besar.
Menurutnya, 2026 merupakan tahun penuh pertama isi rumah akan menikmati peruntukan STR dan SARA sebanyak RM15 bilion.
“Ini bermaksud sebuah keluarga yang berpendapatan sekitar RM3,000 sebulan biasanya hanya mampu membeli rumah berharga sehingga RM209,000 dengan syarat bayaran balik pinjaman tidak melebihi 30 peratus daripada pendapatan tahunan.
“Namun begitu, dengan tambahan RM300 sebulan daripada STR dan SARA, kemampuan mereka meningkat kepada sekitar RM279,000.
“Sebuah keluarga berpendapatan lebih baik, iaitu sekitar RM4,850 sebulan, juga boleh meluaskan bajet mereka.
“Dalam kes ini, kemampuan meningkat daripada RM339,000 kepada lebih RM408,000, sejajar dengan banyak rumah mampu milik baharu di kawasan bandar,” ujarnya.
Bagaimanapun, Kashif berkata, program bantuan tunai STR dan SARA bukanlah satu-satunya faktor yang menjadikan rumah lebih mampu milik pada 2026.
“Ini kerana kos pinjaman perumahan sudah lebih rendah hasil penurunan kadar faedah kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus pada Julai 2025.
“Selain itu, bajet ini juga mengekalkan kemudahan Step-Up Financing melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad bagi isi rumah yang tiada dokumen pendapatan tetap. Sokongan kewangan ini telah diperkenalkan dalam Bajet 2025 dan dijangka diteruskan pada 2026.
“Terdapat juga insentif lain yang memberi kesan langsung kepada keupayaan keluarga membeli rumah, iaitu pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan selama tiga tahun bagi rumah berharga antara RM500,000 hingga RM750,000.
“Skim ini dijadualkan berlangsung sehingga akhir 2027 dan berkemungkinan dilanjutkan,” katanya.
Tambahnya, program-program tersebut menunjukkan betapa pentingnya langkah kerajaan menyalurkan subsidi secara bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan, berbanding skim menyeluruh yang turut memanfaatkan golongan berada.
“Dengan memberi tunai terus kepada isi rumah, kerajaan memudahkan keluarga memenuhi keperluan perumahan dan mencapai kebebasan kewangan,” katanya. – UTUSAN










