USM perkenal aplikasi CaknaStrok bantu rawatan di rumah - Utusan Malaysia

USM perkenal aplikasi CaknaStrok bantu rawatan di rumah

DR. Kamarul Imran Musa (kanan) bersama Dr Wan Rosli Wan Ishak menunjukkan aplikasi CaknaStrok di Kampus USM Kubang Kerian Kelantan.UTUSA/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) memperkenalkan aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai CaknaStrok sekali gus membantu penjaga mengurus pesakit secara lebih sistematik dari rumah.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam PPSP USM Profesor Dr. Kamarul Imran Musa berkata, aplikasi itu dibangunkan hasil penyelidikan yang dilakukan sejak tahun 2020.

“Aplikasi ini menjadi sumber rujukan kepada penjaga untuk mengurus pesakit strok di rumah di dalam satu format mesra pengguna dan mudah alih. Melalui aplikasi ini pengguna boleh akses video bagaimana menjaga pesakit strok di rumah iaitu senaman terapi pertuturan dan fisioterapi.

“Ia turut dilengkapi dengan panduan lengkap pemakanan kepada pesakit strok, mengurus ubat dan janji temu, pautan segera kepada doktor melalui Doc2US serta direktori perkhidmatan Kesihatan dan nombor kecemasan ,” katanya selepas Majlis Pelancaran Aplikasi CaknaStrok yang disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak.

Dr. Kamarul Imran memberutahu, aplikasi ini itu boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store atau Apple App Store.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan jurang maklumat, memudahkan komunikasi antara pesakit, penjaga dengan doktor.

“Aplikasi ini hasil usaha kumpulan penyelidik CaknaStrok yang diketuai oleh saya sendiri dengan kerjasama Doc2US, London School of Hygiene and Tropical Medicine (LSHTM) United Kingdom.

“Selain itu, ia turut Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Medical Research Council (MRC) United Kingdom dan Malaysia Stroke Council (MSC) turut memberikan kerjasama,” ujarnya.

Dr. Kamarul Imran berkata, CaknaStro turut mendapat pembiayaan dari Newton-Ungku Omar Fund dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KTP) Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN