KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin boleh memberi nilai tambah kepada parti itu khususnya memberi keyakinan baharu dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, nilai tambah tersebut meliputi pengalaman Khairy itu pernah memegang jawatan dalam kabinet dan jawatan lain sekali gus pucuk kepimpinan wajar mempertimbangkan rayuan bagi mengukuhkan kedudukan parti.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada kesahihan sama ada Khairy benar-benar telah menghantar rayuan tersebut atau sebaliknya.
“Kalau betul Khairy sudah merayu, saya percaya pucuk pimpinan akan menimbang sebaiknya. Setiap ahli UMNO dan bekas kepimpinan dahulu mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dianggap sebagai nilai tambah kepada parti.
“Kalau rayuan Khairy diterima, itu yang kita harapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Difahamkan, surat rayuan berkenaan diserahkan pegawainya kepada UMNO.
Namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi belum menerima surat rayuan daripada Khairy berhubung pemecatannya daripada parti itu.
Mustapha berkata, beliau yakin pucuk pimpinan akan membuat pertimbangan sewajarnya mengenai penyertaan semula Khairy ke dalam parti.
“Ya kita harap pucuk pimpinan membuat pertimbangan sewajarnya mengenai rayuan tersebut (jika ada),” katanya.
Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dipecat keahliannya daripada parti itu pada 27 Januari 2023 atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen PRU-15 lalu.










