PETALING JAYA: UMNO Bahagian Batu mengumumkan untuk memutuskan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan selepas mendakwa tidak diberikan layanan adil dalam kerjasama politik di kawasan berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh Biro Politik UMNO Bahagian Batu dan berkuat kuasa serta-merta.
“Janji dikota, tiada lagi hubungan politik antara UMNO Batu dengan rakan komponen PH di peringkat Parlimen Batu dan Wilayah Persekutuan.
“Keputusan ini selaras dengan pendirian Biro Politik UMNO Bahagian Batu yang sudah memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan PH di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Gulam Muszaffar turut mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Katanya, keputusan melepaskan jawatan itu juga diambil selaras dengan ketetapan bahagian untuk menamatkan hubungan dengan komponen PH di Batu dan Wilayah Persekutuan.
Memetik laporan media, beliau mendakwa PH gagal menunaikan janji untuk memberikan satu daripada enam kuota Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bahagian Batu kepada UMNO, sebaliknya ia diagihkan kepada wakil PKR termasuk calon yang tewas pada pemilihan parti itu.
“Ini jelas melanggar syarat perjanjian. Hak UMNO dinafikan. Susah sangatkah hendak beri satu kuota MPP kepada UMNO?” katanya.
Tambah beliau, hanya UMNO Bahagian Lembah Pantai menerima kuota MPP, manakala bahagian-bahagian lain di Wilayah Persekutuan langsung tidak diberikan sebarang peruntukan.
Beliau juga melahirkan kekecewaan kerana Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kepada UMNO untuk melaksanakan program masyarakat di kawasan itu.
“Kami menggunakan dana sendiri bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan di Batu. Sepatutnya kerjasama ini boleh diperkukuh kerana kita akan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) bersama, tetapi mereka seolah-olah menganggap UMNO tidak wujud,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang membatalkan pertemuan bersama ketua-ketua bahagian UMNO Wilayah Persekutuan minggu lalu pada saat akhir tanpa memberikan sebarang alasan.
“Sejak dilantik sebagai menteri, beliau tidak pernah memanggil saya untuk berbincang mengenai dasar atau pelaksanaan gerak kerja di Wilayah Persekutuan.
“Begitu juga dengan pimpinan PH WP yang langsung tidak melibatkan UMNO dalam usaha memperkukuh kerjasama BN-PH di Wilayah Persekutuan,” katanya.-UTUSAN









