PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan pelantikan anak jati Kuala Lumpur untuk mengisi jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) pada rombakan Kabinet yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.
Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, langkah itu penting bagi memastikan kepentingan dan suara warga kota benar-benar diwakili oleh individu yang lahir serta membesar di wilayah berkenaan.
“Saya mencadangkan supaya Menteri Komunikasi yang juga yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil diberi kepercayaan untuk memegang portfolio Wilayah Persekutuan.
“Selain itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Bidin yang juga anak jati Kuala Lumpur wajar dilantik sebagai Senator.
“Ini masalah kita di Wilayah Persekutuan bila menteri yang ada berasal dari Johor, manakala Setiausaha Politiknya pula dari Kedah. Sedangkan ramai anak jati sendiri layak diketengahkan. Oleh itu, sudah sampai masanya mereka diberi ruang untuk memimpin wilayah ini. Setuju tak kawan-kawan?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu turut menyentuh beberapa kelemahan pentadbiran sedia ada termasuk isu kuota Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang didakwa tidak menepati janji walaupun pernah dipersetujui bersama dalam pertemuan kepimpinan UMNO bahagian dengan pihak kementerian.
“UMNO Batu konsisten memperjuangkan kebajikan masyarakat setempat sejak lebih satu dekad lalu melalui kerja-kerja kebajikan, kemasyarakatan dan penglibatan dalam persatuan penduduk.
“UMNO Batu tetap bergerak secara berdikari walaupun tanpa sokongan kementerian. Malah, kerja kebajikan dan kemasyarakatan kami lebih tersusun berbanding sebahagian wakil rakyat pembangkang di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan kenyataan setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang mendakwa perjuangannya bersifat individu sebagai tidak berasas kerana UMNO Batu jelas bergerak bersama komuniti sejak sekian lama.
Mengulas hubungan politik dengan PKR Batu, beliau berkata, UMNO Batu sentiasa ikhlas dan terbuka dalam membina kerjasama termasuk memberikan kemudahan dewan serta logistik secara percuma kepada cabang berkenaan semasa pemilihan parti itu sebelum ini.
“Ini bukti UMNO Batu berkawan secara ikhlas dan jujur. Sebab itu kami yakin kepimpinan WP perlu dikembalikan kepada anak jati Kuala Lumpur yang lebih memahami denyut nadi rakyat setempat,” katanya.
Sebelum ini, UMNO Bahagian Batu mengumumkan untuk memutuskan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan selepas mendakwa tidak diberikan layanan adil dalam kerjasama politik di kawasan berkenaan.
Gulam Muszaffar berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh Biro Politik UMNO Bahagian Batu dan berkuat kuasa serta-merta.
Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Katanya, keputusan melepaskan jawatan itu juga diambil selaras dengan ketetapan bahagian untuk menamatkan hubungan dengan komponen PH di Batu dan Wilayah Persekutuan. – UTUSAN







