Tukar MyKad secara percuma mulai hari ini

Tukar MyKad secara percuma mulai hari ini

MyKad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilik MyKad yang mengalami masalah cip rosak kini boleh memperbaharui kad pengenalannya di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara secara percuma mulai hari ini hingga 7 Oktober 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod JPN mulai Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak telah diterima.

Katanya, trend itu menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan iaitu sebayak 32,819 permohonan pada Jun kepada 40,371 pada Julai dan terus melonjak sehingga 45,411 pada ogos lalu.

Menurutnya, setakat sema­lam, JPN telah menerima seba­nyak 22,858 permohonan bagi bulan September sahaja.

“Seiring dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai pelaksanaan inisiatif Budi95 buat rakyat Malaysia, Kementerian Dalam Negeri me­lalui JPN akan memberi kemudahan penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September hingga 7 Oktober.

“Penukaran cip MyKad yang rosak secara percuma ini boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan.

Oleh demikian, katanya, penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula esok dianggarkan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM714,660.00 termasuk kos lain yang berkaitan.

“Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan Madani prihatin menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi Bu­di95 dengan lancar.

“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik, kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar Budi95.

“Kerajaan Madani berpe­gang teguh kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat Malaysia menerima manfaat yang dijanjikan tanpa ada yang tercicir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN