IPOH: Seorang tukang cat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di hari ini atas lima pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun lapan bulan, sejak tahun lalu.
Tertuduh, Lee Fong Chiew, 60, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa merogol kanak-kanak terbabit dalam tiga kejadian berasingan di sebuah rumah di Taman Hoong Chan, Kampar masing-masing pada pukul 5 petang pada 9 September 2024, 10 September 2024 (8.30 malam) dan 1 Ogos 2025 (7 petang).
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga didakwa bagi dua pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa di lokasi sama pada pukul 5 petang pada 9 September 2024 dan 3 petang pada 24 April 2025.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak menawarkan jaminan memandangkan kes itu serius kerana melibatkan kanak-kanak dan hubungan tertuduh yang juga kenalan keluarga mangsa.
Bagaimanapun katanya, jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Fong Chiew yang diwakili peguam bela, Ng Xin Ru pula memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap penyakit sukar membuang air besar dan sekiranya tidak diberi jamin, ia akan memberi kesan kesihatan terhadap lelaki itu.
Beliau memberitahu, anak guamnya juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengikuti semua syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah.
“Tertuduh merupakan orang susah dan bekerja sebagai tukang cat dengan pendapatan tidak menentu antara RM1,000 hingga RM1,500.
“Sekiranya dibenarkan mahkamah, saya memohon agar jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 29 Oktober depan untuk serahan dokumen dan laporan perubahan. – UTUSAN