TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu peribahasa yang tepat menggambarkan pencapaian pelakon, Eira Syazira, 41, menembusi pasaran Indonesia.
Eira atau Syazira Suhaimi diterima baik di Indonesia kerana bakat nyanyiannya.
Malah sebelum ini Eira pernah bekerjasama dengan Dodhy Kangen Band menerusi single duet berjudul Jebakan selain berkongsi pentas dengan Andika yang juga anggota Kangen Band.
Sejak lima tahun lalu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga sering berulang alik ke Indonesia bagi memenuhi jemputan membuat persembahan di beberapa daerah di negara itu.
Terbaharu, Eira berkolaborasi pula dengan penyanyi sensasi, Nabila Maharani menerusi lagu Bawang Merah Bawang Putih yang dilancarkan baru-baru ini.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak menyangka yang orang Indonesia akan menerima baik kemunculan saya di sana. Sampai sekarang ini, saya masih dipanggil untuk membuat persembahan di sana. Dalam satu bulan, dua tiga kali saya ke Indonesia.
“Sebelum ini saya pernah dengar ada rakan industri bercakap tentang susahnya artis Malaysia nak tembusi pasaran Indonesia. Dahulu, saya juga fikir perkara sama. Namun telahan saya meleset.
“Saya sendiri masih tercari-cari jawapan bagaimana saya boleh diterima baik di Indonesia. Mungkin juga disebabkan saya bernaung di bawah Positive Art Entertainment yang berpusat di sana.
“Apa pun, saya percaya semua ini rezeki yang telah ditentukan Allah. Saya cuma buat sahaja, tiada niat untuk bina karier atau popular di sana,” katanya.
Kata Eira lagi, seperkara mengenai orang Indonesia yang sebenarnya cukup senang menyambung silaturahim dengan orang Malaysia.
“Bila berada di sana, saya tidaklah berbahasa Indonesia, malah berkomunikasi pun dengan bahasa Melayu.
“Tetapi mereka menerima baik dan teruja bila mendengar saya bercakap Melayu. Orang Indonesia sendiri mahu saya kekal berbahasa Melayu,” ujarnya.
Mengulas tentang kolaborasi dengan Nabila, Eira menganggap perkara itu sebagai rezeki terpijak.
“Saya tak pernah menjangkakan penyanyi dan pencipta lagu, Tri Suaka akan mencipta lagu untuk saya, apatah lagi peluang untuk berduet dengan Nabila yang juga isterinya.
“Lebih mengejutkan apabila Nabila, yang sebelum ini tidak pernah berduet dengan mana-mana penyanyi wanita, bersetuju untuk berduet dengan saya,” kongsinya.
RINDU LAKONAN
Meskipun sudah agak lama tidak membuat kemunculan di kaca televisyen atau layar lebar, kecintaan Eira terhadap kerjaya itu tidak pernah pudar.
“Malah saya masih menerima tawaran. Beberapa kali juga saya ditawarkan berlakon sinetron di Indonesia dan filem di Malaysia.
“Tapi disebabkan penggambaran yang mengambil masa terlalu lama, saya terpaksa tolak dengan cara baik.
“Lakonan masih diteruskan cuma saya terpaksa seimbangkan dengan perniagaan yang saya usahakan.
“Tapi tentulah saya merindui berada di set penggambaran, jumpa rakan-rakan industri. Insya-Allah, saya harap ada watak yang sesuai untuk saya selepas ini,” kongsinya.-UTUSAN