INSIDEN kemalangan 18 tahun lalu masih terpahat dalam ingatan pelakon dan pengacara, Catriona Ross.
Tragedi berdarah pada 2007 yang hampir meragut nyawanya itu meninggalkan rasa ngeri sampai ke hari ini.
Dalam pertemuan singkat baru-baru ini, anak seni yang berasal dari Kelantan ini berkongsi rasa syukurnya atas peluang kedua yang dikurniakan Tuhan.
Malah Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross sendiri bagaikan sukar percaya yang pada hari ini, dia mampu bangkit selepas dikatakan tidak berpeluang menjalani kehidupan normal susulan kemalangan tersebut.
“Memang mengerikan apabila dikenang semula kejadian itu. Hendak dikatakan trauma, tidak. Cuma sekarang saya lebih berjaga-jaga.
“Saya melalui proses yang lama untuk pulih, kira-kira 14 bulan panjangnya. Daripada terlantar, kemudian berkerusi roda, selepas itu bertongkat dan akhirnya berjalan seperti biasa.
“Ia tidak mudah. Apatah lagi kalau semangat tak kuat. Saya sendiri macam tak percaya yang saya pada hari ini mampu menjalani semula kehidupan yang normal,” katanya yang gagal menahan sebak.
Catriona dalam kemalangan itu cedera parah selepas tercampak keluar susulan kenderaan dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di lebuhraya Utara Selatan.
“Saya hanya betul-betul sedarkan diri selepas menjalani pembedahan pertama,” jelasnya.
Bekas pengacara rancangan Wayang Kita ini menyebut ibunya, Allahyarham Siti Zawiyah Ab. Rahman yang menjadi penguat semangat untuk dia pulih selepas kemalangan ngeri itu.
“Ibu sayalah yang menjadi pembakar semangat untuk pulih. Saya tidak mampu menahan pilu apabila melihat arwah ibu menangis kerana mengenangkan keadaan saya pada waktu itu.
“Saya katakan kepada diri saya, saya kena kuatkan semangat, bangkit dan tunjukkan kepada ibu yang saya okey.
“Alhamdulillah, arwah ibu saya sebelum dia menutup mata, sempat melihat saya berjalan semula, berkahwin dan melahirkan dua cahaya mata.
“Jadi saya tidaklah terkilan sangat kerana sebelum arwah pergi, kami sempat berkongsi kegembiraan ini,” kongsinya.
Catriona mendirikan rumah tangga pada 2009 dengan Shaharuddin Mokhtaruddin.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sephina Rania, Jamal Al Raess dan Edruce Riyadh.
“18 tahun lalu, doktor pakar memaklumkan yang saya tidak akan memiliki zuriat disebabkan kecederaan dalaman yang saya alami susulan kemalangan itu.
“Tetapi sekarang ini saya sudah memiliki tiga cahaya mata. Saya amat bersyukur. Kuasa Allah mengatasi segalanya,” ujarnya.-UTUSAN