IPOH: Cadangan menukar ruang pejabat kosong kepada kediaman memerlukan kerangka undang-undang baharu melalui penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebarang usaha kerajaan untuk membantu pemilik atau pemaju adalah sukar kerana undang-undang sedia ada hanya terikat kepada Akta Pengambilan Tanah 1960.
Katanya, syarat keselamatan juga perlu diberi keutamaan khususnya di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
“Sekiranya Akta PSB diluluskan, kerajaan boleh menggubal peraturan bagi memberi insentif kepada pihak yang berusaha menghidupkan semula bangunan usang atau daif.
“Di Ipoh contohnya, kita ada Waller Court yang pernah digelar rumah pangsa paling panjang di Asia Tenggara. Semua boleh lihat keadaannya hari ini. Kita memang mahu bantu tapi sangat sukar tanpa mekanisme undang-undang yang jelas,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan empat Taman Rekreasi Madani di sini, semalam.
Kor Ming mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia semalam mengenai terdapat lebih 30 juta kaki persegi (kps) ruang pejabat tidak berpenghuni yang semakin usang dan perlu diberi perhatian di Kuala Lumpur. – UTUSAN










