Tiga lelaki berkomplot rancang kes samun direman

Tiga lelaki berkomplot rancang kes samun direman

TIGA lelaki termasuk seorang jurujual dibawa ke Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan diiringi oleh anggota polis hari ini bagi mendapatkan perintah reman berhubung satu kes samun, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Tiga lelaki termasuk seorang jurujual kereta direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung satu kes samun berjumlah lebih RM60,000 di Jalan Kampung Gajah di sini, Rabu lalu.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Selasa depan terhadap ketiga-tiga lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal di Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam, hari ini.

Ketiga-tiga suspek sebelum itu tiba di pekarangan mahkamah terbabit kira-kira pukul 9.35 pagi dengan diiringi oleh pihak polis.

Difahamkan, jurujual yang juga suspek utama berusia 42 tahun itu membuat laporan kononnya dia telah disamun dua penunggang motosikal sehingga mengalami kerugian lebih RM60,000.

Bagaimanapun, hasil siasatan susulan tangkapan yang dilakukan terhadap dua lelaki di Sungai Petani, Kedah semalam mendapati bahawa pengadu sendiri telah mengupah mereka untuk berbuat demikian dengan bayaran sebanyak RM3,000.

Kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 38 tahun itu mengaku terlibat dalam komplot tersebut, namun mendakwa, sehingga kini, mereka masih belum menerima bayaran seperti yang dijanjikan.

Siasatan lanjut juga mendapati, suspek utama tersebut mengaku telah membelanjakan wang milik pelanggannya bagi kegunaan peribadi sebelum itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN