PAPAR: Tiga beranak ditemukan maut selepas rumah mereka tertimbus dalam tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, di sini, semalam.
Ketiga-tiga mangsa Wong Moi Ling, 34, ditemukan tertimbus bersama anak lelakinya, Christen Kell Benny, 6, masing-masing pada pukul 4.20 petang dan 4.25 petang, manakala anak perempuannya Kemiey Asphereynda Benny, 10, ditemukan kira-kira empat jam kemudian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd. Pisar Aziz berkata, seramai 16 anggota termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bersama jentera dan EMRS bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada pukul 9.20 pagi.
Beliau berkata, ketika tiba di lokasi, pihaknya mendapati tanah runtuh menghempap sebuah rumah yang dihuni tiga beranak dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.
“Pihak bomba menemukan mangsa perempuan (ibu) pukul 4.20 petang manakala mangsa kedua lelaki (anak) ditemukan lima minit kemudian. Mangsa ketiga ditemukan pada pukul 8.45 malam.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam runtuhan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Paisar berkata, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pukul 2.05 pagi tadi. – UTUSAN










