Bagi pelakon muda berbakat, Nadhir Nasar, perjalanan seni bukan sekadar soal populariti, tetapi sebuah perjuangan panjang yang menuntut keberanian, kerja keras dan kesabaran.
Malah, akui bintang filem aksi komedi terbaharu arahan Adrian Teh, Magik Rompak, ini mengakui, walaupun kini namanya semakin dikenali, ia tidak bermakna semua laluannya boleh diklasifikasikan sebagai mudah.
Tidak terlepas daripada cabaran tersendiri, Nadhir mengakui dia juga sama seperti pelakon baharu lain yang berusaha mencari inisiatif sendiri dalam dan tidak cuma menunggu sebarang tawaran kerja jatuh ke riba.
Itu termasuklah dengan cara bertanya atau ‘melobi’ diri kepada pengarah atau penerbit untuk mencari peluang kerja lakon.
“Ramai ingat jadi pelakon ini mudah, tawaran datang bergolek terutama apabila kita kononnya sudah ada nama. Hakikatnya tidak.
“Bagi saya rezeki perlu dicari. Kita kena usaha, bukan hanya menunggu. Bagi saya tak salah pun jika seseorang pelakon itu mencari peluang kerja lakon dengan bertanyakan hal itu kepada pengarah atau penerbit.
“Itu juga satu usaha sebab kita pun tak tahu mungkin dengan cara itu, mereka akan ingat kita. Kebetulan ada watak sesuai, mereka berikan, itu satu rezeki.
“Satu lagi, pergi uji bakat pun satu inisiatif pelakon itu juga. Itu dapat buka pintu peluang. Kalau rasa tidak ada tuah, itu biasa. Semua orang ada masa masing-masing untuk bersinar,” katanya.
Nadhir juga tidak menolak bahawa apa yang dikongsikan oleh rakan seindustri, Raja Atiq tentang keterpaksaan segelintir pelakon baharu menghubungi sendiri pihak produksi demi mendapatkan tawaran.
Kata Nadhir, itu adalah realiti yang turut dihadapinya suatu ketika dahulu.
“Saya bermula dengan Hero Remaja. Masa itu saya langsung tidak ada nombor pengarah, tidak kenal sesiapa dalam industri seni ini.
“Saya hanya dikenali melalui kawan-kawan yang buat produksi kecil. Dari situ saya belajar sedikit demi sedikit. Itu pengalaman sayalah,”jelasnya.
Tambahnya lagi, perjalanan sebagai pelakon baharu tentunya penuh dengan liku-liku yang menuntut ketabahan seseorang pelakon.
Namun sikap mudah berputus asa tidak seharusnya asa dalam diri seseorang itu jika sudah punyai minat dan impian besar sebagai anak seni.
“Bohonglah kalau saya cakap struggle itu tak ada. Ia memang ada. Tak ada siapa dalam dunia ini boleh berjaya sekelip mata.
“Saya tak percaya pada istilah one night success. Semua ini bukan magik. Ia ambil masa, banyak peluh dan kerja keras untuk sampai ke tahap ini. Tetapi jangan mudah putus asa, sebab saya percaya rezeki tak permah salah alamat,”katanya.
Seronok jadi Ujang
Menyentuh tentang filem Magik Rompak, Nadhir menyifatkan watak Ujang sebagai antara cabaran terbesar sepanjang empat tahun penglibatannya dalam industri.
“Pengarah mahu karakter Ujang jadi fun dan kadang-kadang ada sisi menjengkelkan. Itu bukan mudah. Tambah pula saya kena belajar buat magik, bawa motor, semua itu mencabar.
“Namun, berada di sisi dua nama besar seperti Sharnaaz Ahmad dan Zul Ariffin, bagi saya ia memberi pengalaman berharga buat saya.
“Alhamdulillah, bila di set, mereka banyak mendorong para pelakon. Saya rasa terhutang budi dengan mereka termasuk keserasian bersama anggota Night Spark lain termasuk Amelia Anderson,” ujarnya.
Selain itu, ditanya apakah babak paling berkesan buat Nadhir adalah ketika penggambaran dalam sebuah bilik kebal bersama Zul Ariffin.
“Kami shoot hampir enam jam dalam bilik kebal itu. Bagi saya itu antara babak paling menarik. Zul banyak bercakap, saya pun sama.
“Jadi kami kena saling memberi. Zul pula memang cakap merepek masa itu, jadi suasananya jadi lebih hidup,” katanya sambil ketawa.
Filem arahan Adrian Teh tersebut bukan sekadar menampilkan aksi mendebarkan tetapi juga gabungan elemen magis yang jarang diterokai dalam filem tempatan.
Filem ini mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 11 September 2025.-UTUSAN