Tidak kisah kerja apa, buat apa asalkan halal - Fareez Fauzi sertai sukan tinju - Utusan Malaysia

Tidak kisah kerja apa, buat apa asalkan halal – Fareez Fauzi sertai sukan tinju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya memang tiada gaji tetap. Jadi tidak kisah kerja apa pun, asalkan halal. Semuanya untuk keluarga.”

Demikian luahan pelakon dan penyanyi, Fareez Fauzi yang sanggup mencuba sukan tinju dalam All Star Championship 2025 demi kelangsungan hidup dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Jelasnya, penyertaannya dalam kejohanan tinju itu bukan untuk mencabar sesiapa tetapi hanya sebagai salah satu usaha untuk mencari pendapatan menerusi kemenangan hadiah yang mencecah RM50,000.

“Saya sepatutnya terlibat dalam sebuah projek tetapi watak tersebut diberikan kepada pelakon lain. Saya sedar diri, mungkin itu bukan rezeki saya. Jadi daripada menunggu kosong, saya menyertai kejohanan ini.

“Saya tak boleh hanya duduk menunggu. Bukan bermaksud saya berputus asa, cuma saya perlu terus bergerak. Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada untuk keluarga. Yang penting saya terus berusaha.

“Soal rezeki ini, saya tidak kisah perlu berniaga ke, kerja biasa ke saya boleh buat. Tak perlu malu sebab orang lain bukan pemberi makan kita. Mungkin orang lain lebih popular, lebih dikenali, jadi mereka lebih mudah dapat peluang, tidak mengapa,” katanya.

Dalam kejohanan yang berlangsung semalam, anak kepada pelakon Fauzi Nawawi itu berjaya menumbangkan lawan, Sonic dan bakal mara ke pusingan seterusnya yang bakal berlangsung awal Oktober depan.

Tambah bapa kepada seorang anak ini lagi, fokusnya kini bukan lagi hanya menanti tawaran lakonan semata-mata dan  terbuka mencari peluang lain termasuk menghadiri sesi casting sendiri.

“Sedekad saya dalam industri seni, ramai rakan seangkatan sudah berjaya bina nama. Tetapi saya belum di situ lagi. Saya pun sudah berkeluarga, ada anak dan isteri. Saya tidak boleh duduk diam goyang kaki.

“Di mana ada peluang dan ruang, saya akan cuba. Kalau tawaran lakonan berkurangan, saya tetap akan hadir uji bakat. Dapat atau tidak, soal kedua. Itu mungkin cara Allah mahu saya fokus pada jalan rezeki yang lain,” katanya.

Mengulas soal tinju, Fareez berkata, dia berlatih lebih dua bulan sebelum saringan pertama kerana sedar dirinya memerlukan latihan intensif sebelum ke gelanggang melawan peserta lain.

“Saya terbuka untuk serius dalam sukan tinju ini, terutama kejohanan membabitkan selebriti dan pempengaruh tempatan. Kalau ada peluang, apa salahnya kan. Memang itu yang saya sasarkan. 

“Kalau ada acara seperti Fury atau Beyond versi Malaysia, saya teringin untuk cuba. Tapi bukanlah niat nak jadi petinju profesional. Saya cuma mahu mencari rezeki, bukan nak jadikan tinju sebagai kerjaya utama,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN