Tidak faham bahasa, pertuduhan kes bunuh lelaki Myanmar ditangguh - Utusan Malaysia

Tidak faham bahasa, pertuduhan kes bunuh lelaki Myanmar ditangguh

THIEN MG (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi menghadapi pertuduhan bunuh manakala rakannya, Win Naing (kanan) yang dijadikan saksi pendakwaan didakwa di mahkamah sama mengikut Akta Imigresen di sini hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara dalam kejadian di asrama sebuah tokong di Menglembu, tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, pendakwaan ke atas Thien Mg, 31, terpaksa ditangguhkan kerana tertuduh tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.

Majistret S. Punitha kemudian menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh lantikan jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan kes dapat dijalankan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zarris Sofea tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu ekoran tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Dalam prosiding sama, rakan tertuduh, Win Naing, 40, yang dijadikan saksi pendakwaan bagi kes itu menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 6(c)(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap lelaki warga Myanmar itu juga terpaksa ditangguhkan ekoran tertuduh turut tidak memahami bahasa Melayu dan Inggeris.

Tarikh sebutan semula untuk lantikan jurubahasa adalah pada 2 Oktober depan.

Pada 5 September lalu, seorang lelaki warga Myanmar dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 5.45 pagi.

Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian adalah kecederaan kepala akibat trauma tumpul. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN